Taubat seorang pemabuk

Oh Tuhan ……. aku bertaubat
 
Aku mempunyai seorang anak perempuan. Anak itu amat menghiburkan hati. Telatahnya melucukan. Aku begitu rapat dengannya. Pernah suatu ketika, anak kecil itu datang padaku dan menarik lengan baju sehingga arak tertumpah ke atas bajuku. Tetapi kerana terlalu kasih akan anak itu, aku langsung tidak memarahahinya.
 
Sayangnya anak ini meninggal ketika umurnya genap dua tahun. Hatiku sangat hiba sejak kehilangannya.  Sejak hari itu hidupku tidak teratur.  Arak menjadi teman  setia. Suatu waktu, dalam keheningan malam Jumaat pada pertengahan Syaaban, aku berhibur hibur dengan arak.  Seteguk demi seteguk airnya aku habiskan sehingga mabuk dan tertidur. Entah mengapa tidurku begitu nyenyak.
 
Tiba tiba terdengar bunyi yang sangat dasyat. Dentumannya sungguh menakutkan. Serentak itu juga, seluruh manusia berpusu pusu keluar berkumpul di satu kawasan  lapang. Aku berasak asak di celah celah manusia lain menyertai mereka menuju ke tempat tersebut.
 
 Dalam hiruk pikuk manusia yang tidak terbilang itu, aku terdengar satu suara aneh. Aku menoleh sedikit. Alangkah terperanjatnya apabila mendapati seekor ular yang sangat besar betul betul dibelakangku. Mulutnya terbuka luas seperti hendak menelanku.
 
Ular yang menggerunkan berwarna hitam kebiru biruan itu mengangakan mulutnya bersedia untuk memakan aku.
 
Aku yang ketakutan berlari sekuat hati. Aku hanya berlari dan terus berlari. Di pertengahan perjalanan itu, aku terserempak dengan seorang lelaki tun. Baunya sangat harum. Pakaianya pula bersih sekali. Aku memberi salam kepadanya lalu dibalas salamku.
 
“Tolong aku pakcik!” pintaku penuh harapan.  “Ular itu hendak memakanku, selamatkanlah aku pak cik,” rayuku lagi.
 
Lelaki tua itu menangis melihatku.
 
“Mudah mudahan Allah menolongmu,” kata lelaki tua itu lagi terus berlalu.
 
Tanpa menunggu lebih lama, aku terus berlari menyelamatkan diri daripada ular besar yang sedang menghambatku. Akhirnya aku sampai ke satu tempat yang tinggi. Aku berlari mendakinya. Sampai saja dipuncak, aku tunduk ke bawah. Aku dapatn melihat dengan jelas, beberapa tingkat kawah berapi terbentang luas di dalamnya. Apinya menjulang julang.
 
Ular  itu semakin dekat sedangkan tiada ruang lagi untukku melepaskan diri. Selangkah kedepan, aku pasti terhumban ke dalamnya. Akan hancur luluh lah tubuhku dalam kawah berapi.
 
Pada saat yang genting itu tiba tiba terdengar suatu suara memanggil namaku. Aku terkaku.
 
“Kembalilah! Jangan teruskan lagi,” kata suara itu. “Kau tidak termasuk dikalangan mereka,” sambung suara itu.
 
Sebaik sahaja mendengar suara ghaib itu aku terus berpatah balik. Dalam perjalanan, sekali lagi aku terserempak dengan lelaki tua yang kelihatan sangat lemah  itu.
 
“Aku benar benar memerlukan pertolonganmu. Selamatkanlah aku pak cik,” aku merayu.
 
Orang tua itu menangis. “Aku tidak berdaya membantumu. Pergilah kegunung itu. Mungkin ada yang dapat melepaskan kamu dari ular itu.”
 
Aku berpaling melihat gunung yang dtunjukkan oleh lelaki  tua itu. Di atasnya terdapat binaan yang diperbuat daripada perak. Di dalamnya terdapat terowong yang tertutup dengan kain.  Pintu yang menutupi terowong itu pula diperbuat daripada emas manakala enselnya daripada zamrud dan pakunya daripada mutiara. Setiap daun pintu itu dihiasi sutera yang indah.
 
Aku terus sahaja berlari kearah gunung yang ditunjukkan oleh lelaki tua itu. Ular itu masih lagi mengejarku dari belakang.
 
Sebaik sahaja kakiku hampir dengan gunung tersebut, tiba tiba aku terdengar suatu suara berkata, “Bukakkanlah pintunya dan angkatlah kain kain penutup ini,”
 
Tidak semena mena, pintu yang terkatup rapat itu terbuka dan kain yang menutupinya terangkat. Sekumpulan anak anak kecil yang berada di dalamnya berpaling melihatku. Aku dapati wajah anak anak itu bercahaya.
 
“Lihat, musuh semakin dekat,” jerit salah seorang daripada mereka.
 
Ular itu semakin rapat, sedangkan aku mengigil ketakutan. Anak anak itu memmerhatikan ku penuh belas kasihan. Aku meneliti anak anak itu seorang demi seorang. Tiba tiba mataku terpaku pada seorang anak perempuan kecil. Wajahnya mirip anakku yang meninggal tidak lama dulu.  Aanak perempuan itu menangis melihat keadaanku.
 
“Wahai ayahku!” jerit anak kecil itu sambil berlari kearah ku. Benarlah, anak perempuan itu anakku! Anak itu menghulurkan tangan kirinya dan menggengam tangan kananku. Tangan kanannya pula diacukan kepada ular itu. Serta merta ular besar yang mengejarku sejak awal tadi lenyap dari pandangan.
 
Anak perempuanku itu menarik tanganku dan duduk di suatu sudut. Dia bermanja di atas pangkuanku. Sedang tangannya bermain main dengan jangutku, anak perempuanku bersuara: “Ayah, belum datangkah waktunya bagi orang orang yang beriman  untuk tunduk  hati mereka mematuhi peringatan Allah serta mematuhi kebenaran yang diturunkan kepada mereka?”
 
Sebaik sahaj mendengar sepotong ayat yang dibacakakn olehnya, hatiku tiba tiba ditusuk penyesalan yang amat dalam. Tanpa disedari air mata pun mengalir.
 
Kata kata yang dituturkan oelh anak perempuanku itu adalah firman Allah dalam surah al_Hadad ayat 16 iaitu: Belum sampaikah lagi masanya bagi orang orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran yang diturunkan (kepada mereka)? Dan jangalah pula mereka menjadi seperti orang orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang orang yang fasik (derhaka)
 
Aku merenung anak itu dan bertanya, “Wahai puteriku, apakah kamu memahami kandungan al-Quran?”
 
“Ayah, kami mengerti isi al-Quran lebih daripada apa yang diketahui olehmu,” jawab anakku.
 
Aku memandang anakku dan bertanya, “Ceritakanlah kepada ayah mengenai ular besar yang mengejarku sebentar tadi.”
 
“Itu adalah dosa dosa yang telah ayah kerjakan sehingga menjerumuskan diri ke dalam neraka jahanam, jawab anak kecil itu.
 
Lalu aku bertanya pula padanya tentang lelaki tua yang kutemui ketika lari daripada ancaman ular tersebut.
 
“Itu adalah amalan soleh yang ayah lakukan  dan telah di terima Allah, tetapi tidak cukup untuk melepaskan ayah daripada balasan Allah. Ia hanya dapat membantu ayah melepaskan diri daripada kesusahan ini,” begitu jawab anak perempuanku.
 
Aku bertanya kagi tentang apa yang dilakukannya diatas gunung ini.
 
“Kami adalah anak  orang orang Muslim. Kami ditempatkan disini sehingga hari kiamat dan menunggu mereka datang, dan kamilah yang akan memohon kepada Tuhan untuk melepaskan mereka dari siksaan,” jawab anakku.
 
Sejurus anak itu mengakhiri kata katanya, aku tersedar daripada tidur. Perasaan yang takut menyelubungiku. Mimpi itu telah memberi keinsafan abadi buatku.
 
Bejana arak yang masih bersepah di tepat pembaringan itu kucapai. Airnya kucurahkan ke tanah. Bejana bejana itu ku pecahkan. Dari saat itu aku memohon keampunan kepada Allah atas segala  perbuatan yang sia sia dan dilaknat olehNYA. Oh Tuhan  …….. aku bertaubat.
 
Aku dalam cerita di atas ialah ahli sufi terkenal, Malik bin Dinar. Belia menjadi pengarang hadis setelah bertaubat kepada Allah. Malik bin Dinar di masa mudanya merupakan  seorang askar manakala anak perempuan yang diceritakan dalam kisah di atas adalah hasil perhubungannya dengan seorang hamba yang cantik jelita. Tetapi anak itu meninggal sewaktu berusaia dua tahun.
Mastika Ogos 2006 (m/s 120 – 123)
p/s : aku terbaca artikel ni masa tgh surf pasal minda
klik disini untuk artikel asal

Lepak Crew

I am me
Lets lepak