KERUGIAN MAS: APAKAH ARAK PUNCANYA?

1. Pada 13 Mac 2017, berucap di Dewan Rakyat, MP Kalabakan meminta MAS mengenakan bayaran kepada penumpang yang minum arak atas pesawat jarak jauh.

2. Alasannya, inilah puncanya MAS tidak mendapat keuntungan.

Betulkah MAS rugi kerana menyediakan arak percuma kepada penumpang jarak jauhnya?

3. MAS rugi bukan kerana menyediakan arak percuma. MAS rugi sejak Dr. Mahathir menswastakan MAS pada Tajuddin Ramli pada tahun 1994.

4. Sebelum itu, perkhidmatan MAS hebat. Saya ingat pertengahan tahun 1985 semasa menaiki pesawat MAS ke London, mutu perkhidmatannya lumayan sekali. Setiap tahun MAS mendapat Anugerah Kabin Krew Terbaik dari Skytrax.

5. Sekarang, kehebatan MAS sudah hilang. Keuntungan MAS juga sudah menjadi sejarah. MAS mula rugi teruk setelah diswastakan. Bagi mengatasi kerugian ini, MAS memberhentikan banyak laluan antarabangsanya.

Lauan manakah yang ditamatkan operasinya?

6. MAS menamatkan laluan Zurich, Madrid, Brussels, Honolulu, Munich, Vancouver dan Mexico City.

7. MAS menghentikan laluan Stockholm, Manchester, Vienna, Fukuoka, Nagoya, dan Kaherah.

8. MAS menamatkan laluannya ke Los Angeles, Newark, Cape Town, Johannesburg, Mexico City dan Buenos Aires.

9. Di benua India, MAS menamatkan laluannya ke Karachi dan Maldives. Di Indonesia, MAS menamatkan laluannya ke Bandung, Yogyakarta dan Surabaya.

10. Terkini, selepas penstrukturannya MAS menghentikan penerbangannya ke Rome, Dubai, Frankfurt, Amsterdam, Paris dan Brisbane—semuanya laluan penting tetapi MAS menghentikannya atas alasan tidak menguntungkan.

Maka, apa tindakan MAS untuk memulihkan kedudukannya?

11. MAS menjual bangunan Ibu Pejabatnya di Jalan Sultan Ismail untuk mendapat aliran tunai.

12. Tidak hanya itu. MAS juga menstrukturkan semula syarikat. Dalam penstrukturan ini, kerajaan menyuntik RM6 billion untuk memulihkan MAS. Anehnya, wang disuntik tetapi MAS memberhentikan 6000 pekerjanya atas alasan untuk menjimatkan kos operasi.

13. Berantakan kakitangan MAS yang diberhentikan kerja. Sedih!

Semakin baikkah MAS dengan program pemulihan ini?

14. Saya tidak nampak pun semakin baik. Pekerja MAS sendiri pun tidak nampak. Hendak tahu baik atau tidak, naik sahajalah penerbangan jarak jauh MAS atau tanya sahajalah pekerja MAS.

15. Perhatikan kualiti makanan, inflight entertainment, keselesaan penumpang, toiletries dan lainnya. Jauh mutunya jika dibandingkan dengan syarikat penerbangan premium yang lain. Tetapi kita selalu heboh MAS masih lagi penerbangan yang terbaik.

16. Saya tidak tahu aspek mana terbaiknya. Jika ada satu yang saya puji ialah budi bahasa krew kabinnya. Masih ada kelembutan dan sentuhan Malaysia. Itu pun ada juga yang masam. Mungkin letih, mungkin stress.

Aspek manakah MAS lemah?

17. Sistem pembelian tiket atas taliannya lemah. Jaringannya dengan syarikat penerbangan lain juga lemah, biarpun MAS adalah ahli One World.

18. Produk MAS terbatas. Dahulu laluan antarabangsanya luas, majalah Going Places sedap dibaca, inflight shoppingnya banyak barangan, tawaran Enrichnya mengujakan, tetapi sekarang ini semuanya itu sudah berkurangan sekali.

19. Pemasaran dan pengiklanan MAS lemah. Hampir tidak ada.

20. Tiket MAS mahal dan tidak sepadan dengan mutu perkhidmatannya.

21. Perkhidmatan katering MAS tidak memuaskan sedangkan setahu saya, kos katering ini mahal untuk MAS tanggung.

22. Pendek kata, banyak yang boleh disenaraikan, termasuklah campur tangan politik dalam pengurusan MAS.

Jadi, apakah MAS rugi disebabkan oleh penyediaan arak secara percuma dalam pesawat?

23. Arak tiada kaitan dengan untung rugi MAS. Yang tentukan ialah mutu perkhidmatan, jualan tiket, kemudahan tempahan online, dan pengurusan yang cekap. Ini yang perlu MAS tingkatkan untuk mendapat untung, bukannya soal jual arak dalam pesawat.

24. Justeru, cadangan MP Kalabakan tidak ada yang baharu. Yang diperlukan oleh krew kabin dan umat Islam ialah memberhentikan terus penyediaan arak dalam pesawat.

25. Kita ada dua bulan lagi untuk menyambut Ramadan. Harapnya, menjelang Ramadan ini, pengurusan MAS mengambil keputusan menghentikan penyediaan arak dalam pesawat.

26. Semoganya langkah ini ada keberkatan untuk MAS mencipta keuntungan yang diharapkan.

Sumber: FB Prof Agus

Lepak Crew

I am me
Lets lepak