Bulan Kesedaran Barah Payudara Sedunia

Bulan Oktober merupakan Bulan Kesedaran Barah Payudara Sedunia. Ianya bertujuan untuk mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai selain mendidik dan menyokong mereka yang menghidap penyakit ini. Barah payudara merupakan pembunuh utama kaum hawa dengan hampir separuh dari mereka yang didiagnosis dengan barah ini adalah berusia kurang dari 50 tahun. Ini bermakna, barah ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, tidak kira tua atau muda.

Apa sebenarnya barah ini?

Barah merupakan antara kumpulan penyakit yang terjadi daripada tindakan sel yang bertindak di luar tabiat asalnya. Lumrahnya, sel-sel ini akan membuat pembahagian dengan kadar yang terkawal dan dihasilkan mengikut keperluan tubuh individu.

Apabila kadar penghasilan sel melebihi keperluan, ianya akan menghasilkan lebihan tisu yang juga dikenali sebagai ketumbuhan. Terdapat 2 jenis ketumbuhan iaitu benign (ketumbuhan bukan barah) dan malignan (ketumbuhan jenis barah).

Ketumbuhan jenis benign merupakan ketumbuhan yang tidak membahayakan penghidapnya. Hampir 80 peratus penghidap ketumbuhan payudara adalah dari jenis ini.

Barah payudara merupakan ketumbuhan malignan yang terjadi daripada tindakan sel yang bermula dari bahagian payudara. Ianya berkembang melalui proses pembahagian yang melebihi kadar keperluan organ serta seterusnya menyerang organ serta tisu-tisu yang berhampiran. Sel-sel barah ini juga mampu untuk membebaskan dirinya sari ketumbuhan asal sekaligus memasuki saluran darah serta sistem limfa.

Tahap Barah Payudara

Tahap 1 – Ketumbuhan adalah sebesar 2cm atau kurang. Dalam tahap ini, sasaran serangannya adalah terhad kepada bahagian payudara sahaja.

Tabap 2 – Ukuran ketumbuhan barah meningkat antara 2-5cm. Selain bahagian payudara, ia turut menjadikan nodus limfa (yang terdapat pada bahagian bawah ketiak) sebagai sasaran serangan.

Tahap 3 – Saiz barah 5cm. Pada tahap ini, ia sudah melibatkan nodus limfa ketiak, kulit ataupun otot yang terdapat di bawahnya (otot bahagian dada).

Tahap 4 – Serangan barah sudah menjalar ke bahagian serta organ-organ yang terletak agak jauh dari bahagian payudara. Antaranya nodus limfa pada leher, paru-paru ataupun tetulang penghidapnya.

Faktor Barah

1. Umur – Semakin meningkat umur seseorang, semakin tinggi risiko barah.

2. Sejarah Keluarga – Terdapat beberapa bukti bahawa penyakit ini boleh diwarisi.

3. Mula datang haid awal (sebelum 12 tahun) atau putus haid lewat (selepas umur 50 tahun).

4. Tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada umur melebihi 30 tahun.

5. Wanita mempunyai 100 kali ganda risiko berbanding lelaki.

6. Seseorang yang pernah didiagnos barah payudara sebelum ini, lebih berisiko untuk diserang kembali.

Tanda Barah

• Ketulan atau bengkakkan

• Ketulan yang tidak sakit, keras dan tidak sekata berkemungkinan besar barah.

• Ada juga ketulan barah yang sakit, lembut dan bulat.

• Kulit jadi berkedut seperti kulit limau.

• Puting masuk ke dalam atau sakit.

• Lelehan dari puting selain susu.

Bagaimana Barah / Kanser dikesan?

1. Pemeriksaan sendiri payudara (PSP) – belajarlah dari jururawat anda dan sekiranya ada ketulan di kesan, segeralah berjumpa doktor.

2. Mammogram – ujian x-ray payudara.

3. Biopsi – pengambilan tisu payudara.

Sumber : sinar.my & myhealth.gov.my